Gerakan Mahasiswa

Ciri-ciri Waktu

CIRI- CIRI WAKTU

Waktu mempunyai karektor yang tersendiri. Kita wajib mengetahui hakikat sebenarnya dan menggunakannya dengan cara yang bersesuaian dengan karektornya, antaranya ialah:

1. Cepat berlalu

Ia berlalu seperti awan dan bergerak seperti angin. Sama sahaja, samada zaman bersuka-ria dan bergembira atau zaman berduka-cita dan bersedih. Sekiranya hari kegembiraan ia berlalu lebih cepat, manakala hari bermurung-duka ia berlalu dengan perlahan dan lambat. Pada hakikatnya tidak begitu, cuma perasaan seseorang itu sahaja yang merasakan begitu.


“Telah berlalu tahun-tahun secara berterusan dan girang; tahun-tahun yang singkat itu bagaikan beberapa hari.”

“Kemudian tiba pula hari-hari untuk kita meninggalkannya; hari-hari yang panjang itu bagaikan bertahun-tahun.”

“Kemudian berlalu pergi pula tahun-tahun itu dan ahlinya; ia bagaikan mimpi sahaja.”

Sekalipun panjang usia seseorang hidup di dunia ini ia sebenarnya pendek, selagi mana mati adalah kesudahan bagi setiap yang hidup.


“Sekiranya akhir usia adalah mati; maka sama sahaja panjang atau pendek usia seseorang itu.”


Manusia yang hidup menjangkau tahun dan dekad apabila ia mati jangka masa yang panjang itu akan menjadi beberapa detik yang berlalu sepantas pancaran kilat.

Diriwayatkan daripada Syeikh al-Mursalin Nuh ‘Alaihissalam: Telah datang kepada Baginda malaikat maut untuk mencabut nyawa setelah Baginda hidup seribu tahun sebelum dan selepas kejadian ribut taufan melanda. Malaikat itu bertanya: “Wahai Nabi yang paling panjang usianya, bagaimanakah engkau mendapati dunia ini?” Baginda menjawab: “Seperti sebuah rumah yang mempunyai dua pintu, seorang masuk dari salah satu pintu dan keluar melalui pintu yang lain.”

Samada kisah ini sahih atau pun tidak, ia membayangkan kepada kita hakikat yang telah kita akui bersama bahawa jangka panjang usia mengurang apabila tibanya mati. Demikiannya juga ketika berlaku hari Qiamat. Semua manusia merasakan pendeknya masa yang telah berlalu dan terlalu kerdil.

Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:

كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلاَّ عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا

Maksudnya:

“(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.”
(Al-Nazi‘at: 46)


2. Apa Yang Berlalu Tidak Kembali Dan Tidak Dapat Ditukar-ganti

Ini karektor lain bagi waktu. Setiap hari, jam dan saat yang berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan, dan tidak boleh digantikan.

Inilah apa yang diungkapkan oleh Hasan al-Basri: “Tiadalah suatu hari yang memancarkan sinar fajarnya melainkan diseru: “Wahai anak Adam!! Akulah kejadian yang baru, aku menjadi saksi ke atas amalanmu. Maka ambillah bekalan daripadaku; sesungguhnya apabila aku berlalu pergi, aku tidak akan kembali lagi sehingga hari Qiamat.”

Ini bukanlah hadis yang marfu‘ seperti yang disangkakan oleh sebahagian orang, bahkan ia merupakan kalam Hasan al-Basri; Imam ‘Ali Zainul ‘Abidin mengatakan: “Kalam ini hampir menyerupai kalam para nabi.”

Oleh kerana itu, kita melihat golongan penyair dan sasterawan selepas menjangkau usia tua mereka ingin kembali kepada hari-hari muda sekali lagi. Tetapi ia hanya sekadar angan-angan yang tiada berguna lagi, banyak ataupun sedikit. Salah seorang dari mereka mengatakan:

“Mudah-mudahan kiranya muda itu kembali pada suatu hari; maka aku dapat khabarkan apakah yang dilakukan oleh golongan tua.”

Penyair yang lain pula menggambarkan bagaimana umur, hari dan malamnya berlalu pergi tanpa kembali, malahan mereka tidak lagi mengimpikannya untuk kembali:


“Tiada yang lain bagi seseorang melainkan “penunggang” umurnya; pada permusafiran yang membinasakan dirinya dengan hari dan bulan.”

“Bermalam dan berpagi-pagian pada setiap hari dan malam; jauh dari dunia tetapi dekat dengan kubur.”

3. Suatu Yang Paling Bernilai Dimiliki oleh Manusia

Oleh kerana waktu cepat berlalu, apa yang berlalu darinya tidak akan kembali dan tidak dapat digantikan dengan sesuatu pun, justeru waktu adalah suatu yang paling bernilai dan paling berharga dari apa yang dimiliki oleh insan. Waktu dinilai sebagai sebuah “bejana” bagi setiap pekerjaan dan produk. Hakikatnya, ia adalah modal bagi insan, individu atau masyarakat.

Waktu bukanlah hanya sebahagian dari emas, seperti yang disebut dalam perumpamaan yang masyhur, bahkan ia lebih berharga dari emas, mutiara, intan dan semua jenis barang permata yang bernilai tinggi serta batu yang bernilai. Ia adalah seperti yang disebut oleh al-Syahid Hasan al-Banna: “Waktu adalah kehidupan!” Kehidupan manusia sebenarnya ialah waktu yang ia gunakan dari saat kelahiran hinggalah saat kematian.

Dalam perkara ini Hasan al-Basri juga mengatakan: “Wahai anak Adam, Sesungguhnya kamu adalah himpunan beberapa hari, apabila berlalu pergi sebahagian hari maka sebahagian dari diri kamu juga berlalu pergi!.”

Siapa yang tidak mengetahui nilai waktu hari ini, kelak akan tiba suatu ketika ia mengerti nilainya, dan harga beramal padanya; tetapi setelah lenyapnya kesempatan. Berkaitan perkara ini al-Qur’an mengingatkan dua pendirian insan yang menyesal kerana membuang waktu, dan tiada gunanya lagi sesalan.

0 Komentar: